1.0 Pengenalan
Guru Besar / Pengetua perlu memainkan peranan sebagai pemimpin
instruksional selain daripada mengurus hal-hal pentadbiran sekolah. Tugas utama
seseorang pemimpin instruksional ialah memastikan kualiti pengajaran dan
pembelajaran di sekolah terjamin dan dipertingkatan secara berterusan. Dalam abad ke 21, dunia pendidikan juga
mengalami perubahan selari dengan peredaran zaman dan memenuhi keperluan negara
yang terkini. Oleh itu, sistem pendidikan negara memerlukan seseorang Guru
Besar / Pengetua yang bersedia untuk berubah dalam mencapai impian dan
keperluan negara. Dalam dunia pendidikan abad ke 21, peranan Guru Besar / Pengetua
adalah sangat penting di mana gaya kepimpinannya akan mempengaruhi dan
menunjukkan tahap perubahan dalam pelbagai aspek, terutamanya aspek kurikulum
di sekolah. Seseorang Guru Besar / Pengetua yang berperanan aktif sebagai
pemimpin instruksional dapat meningkatkan tahap pencapaian akademik terutama
dalam peperiksaan awam di sekolahnya. Selain itu, pemimpin instruksional yang
berkesan adalah pemimpin yang mempunyai ciri-ciri tertentu seperti kepintaran,
kejujuran dan integriti, dorongan kepimpinan, sedia untuk berubah, keyakinan diri dan kreativiti. Penilaian
terhadap pemimpin pendidikan yang berkesan juga dapat dilihat melalui dua
perspektif iaitu melalui kanta global dan dari perspektif Islam (Baharom
Mohamad, 2009). Menurut
DeBevoise (1984), kepemimpinan instruksional didefinisikan sebagai meliputi
semua tindakan yang diambil oleh pengetua atau wakilnya bagi mempertingkatkan
perkembangan pembelajaran murid-murid dan kepimpina yang berupaya meningkatkan
prestasi pelajar serta menjana kecemerlangan sekolah. Greenfield (1987), pula
menjelaskan bahawa kepemimpinan instruksional merupakan tindakan-tindakan yang
diambil oleh pengetua dengan tujuan untuk mempertingkatkan keadaan pembelajaran
di sekolahnya.Menurut Abdul Ghani, Abd. Rahman & Zohir
(2008), kepemimpinan instruksional atau dikenali juga sebagai kepemimpinan
pengajaran didefinisikan sebagai satu proses merekabentuk dan menterjemahkan
wawasan ke dalam kurikulum formal dengan cara mengoptimumkan segala sumber yang
ada melalui strategi pendidikan berserta pemerolehan segala pengalaman
pengajaran-pembelajaran dan memastikan bahawa rancangan pendidikan dilaksanakan
dengan berkesan berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Kepimpinan instruksional merupakan salah satu faktor yang
dianggap penentu dalam kejayaan sesebuah sekolah. Kepimpinan instruksional biasanya akan
melibatkan dua pihak iaitu orang yang memimpin iaitu Guru Besar / Pengetua atau
disebut sebagai pemimpin dan orang yang dipimpin iaitu guru-guru. Kepimpinan
biasanya berlaku apabila seseorang itu mendorong, memujuk dan mempengaruhi
orang lain untuk berusaha ke arah pencapaian sesuatu objektif tertentu (Carter,
2007). Cleland (2004) menyatakan bahawa kepimpinan merupakan satu sifat
semulajadi di mana seseorang individu tersebut adalah berkeupayaan dalam
memimpin sekumpulan manusia dengan memastikan setiap pekerjanya adalah
bermotivasi. Berdasarkan definisi-definisi tersebut, maka dapat dirumuskan
bahawa kepimpinan instruksional berkesan sebagai proses di mana seseorang Guru Besar / Pengetua yang berperanan sebagai
pemimpin mempengaruhi tingkah laku guru-guru, murid-murid dan staf sekolah
untuk menerima gaya kepimpinan instruksional ke arah mencapai visi dan misi
sekolah. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 merupakan satu pelan
transformasi pendidikan ke arah menyediakan pendidikan abad ke-21. Pendidikan abad ke
21 merupakan pencetus kepada kreativiti dan sebagai penjana inovasi yang bertindak
untuk pengupaya kepada ketinggian intelektual dan pembinaan model insan secara seiringan ke arah meletakkan Malaysia sebaris negara
maju yang lain dalam abad ke 21 ini. Dalam kerancakan Kementerian Pelajaran
Malaysia melaksanakan transformasi, perkara penting yang perlu diberi perhatian
ialah sejauh mana kesedaran pemimpin instruksional sekolah dalam memastikan agar transformasi
pendidikan negara dapat dicapai dengan jayanya (KPM, 2013).
Keberkesanan kepimpinan instruksional dinyatakan
dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Kementerian Pendidikan
Malaysia, 2014). Anjakan kelima adalah memastikan kepimpinan berprestasi tinggi
ditempatkan di setiap sekolah. Kualiti kepimpinan sekolah merupakan faktor yang
kedua terpenting selepas kualiti guru dalam menentukan kemenjadian murid.
Beberapa kajian antarabangsa tentang kepimpinan sekolah menunjukkan bahawa Guru
Besar / Pengetua yang cemerlang, iaitu yang memberi tumpuan kepada kepimpinan
instruksional dan bukannya kepimpinan pentadbiran, dapat meningkatkan kemenjadian
murid sebanyak 20%. Menurut Laporan Tahunan Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2015 menunjukkan 40% bilangan pengetua atau guru besar
yang bersara dalam tempoh lima tahun akan datang, maka wujud peluang untuk
meningkatkan kualiti kohort ini (Kementerian Pendidikan Malaysia 2014).Bentuk kejayaan dari kepimpinan pemimpin berprestasi
tinggi dalam anjakan kelima PPPM 2013-2015, setiap sekolah akan mempunyai
pengetua atau guru besar berprestasi tinggi yang sentiasa gigih dalam
matlamatnya untuk meningkatkan kemenjadian murid, dari segi kurikulum dan ko-kurikulum..
Kepimpinan di
setiap sekolah diperkukuh, iaitu dengan membangunkan dan menjadikan guru
penolong kanan, ketua bidang dan ketua panitia sebagai pemimpin
instruksional. Sehubungan itu, pihak kementerian memastikan setiap sekolah
tanpa mengira lokasi dan tahap prestasi akan mempunyai seorang Guru Besar / Pengetua
yang berkualiti tinggi dan beliau akan dibantu oleh pasukan kepimpinan
pertengahan dengan matlamat pasukan kepimpinan sekolah dapat memberikan
kepimpinan instruksional dan seterusnya memacu prestasi sekolah secara
keseluruhan. (PPPM 2013-2025).
2.0
Peranan Pemimpin instruksional
2.1 Guru
Besar / Pengetua seharusnya flleksibiliti dalam membuat perubahan dan bersedia untuk membuat sesuatu yang baru demi
pencapaian akademik di sekolah. Apabila pembelajaran abad ke 21 diperkenalkan,
Guru Besar / Pengetua perlu bersedia untuk melaksanakannya dengan menyediakan
prasarana yang sesuai terutamanya keperluan fizikal kelas seperti susun atur
perabot. Gaya pengajaran guru sebagai pemudahcara juga perlu diambil kira dan
diperkemaskan lagi menerusi aktiviti latihan dalam perkhidmatan.
2.2 Guru
Besar / Pengetua perlu membuat keputusan bertujuan untuk memastikan pencapaian positif murid-murid. Semua program
yang di atur perlulah boleh menunjukkan kemenjadian murid dari pelbagai aspek
seperti kurikulum dan kokurikulum. Murid yang diharapkan adalah murid yang seimbang, berdaya tahan, bersemangat
ingin tahu, berprinsip, bermaklumat, patriotik, serta mempunyai kemahiran
berfikir, berkomunikasi serta mampu bekerja secara berpasukan.
2.3 Guru
Besar / Pengetua menganalisa data dari pelbagai sumber dan menggunakan data
tersebut untuk membuat keputusan. Hasil keputusan
peperiksaan perlu di analisis seterusnya di buat post-mortem untuk melihat di mana
kelemahan murid-murid dan guru-guru dalam topik-topik yang tertentu. Analisis
data juga perlu di bentangkan dalam mesyuarat peningkatan prestasi akademik peringkat
sekolah dan juga dalam PPD masing-masing
untuk mengenal pasti sekiranya perlu ada penambahbaikan, khidmat bantu atau
program-program dalam daerah yang boleh dibuat atau dirancang.
2.4 Guru
Besar / Pengetua perlu menggunakan teknologi terkini dengan efektif untuk
meringankan tugas guru-guru dan menyediakan komunikasi yang lebih efektif.
Sistem komunikasi yang lebih mudah seperti wassap, facebook, email atau
telegram boleh digunakan oleh Guru Besar / Pengetua dalam memastikan maklumat
dapat disampaiakn kepada semua guru-guru dan berlakunya komunikasi pelbagai
hala.
2.5 Guru
Besar / Pengetua perlu memahami perbezaan individu di kalangan guru-guru dan murid dan menyediakan peluang untuk
memenuhi keperluan mereka. Kurikulum dalam abad ke 21, menuntut guru-guru untuk
membuat pilihan tentang apakah yang penting pada masa kini untuk menyediakan
modal insan pada masa hadapan. Untuk merealisasikannya, guru-guru banyak menggunakan peralatan ICT,
jadi sebagai Guru Besar / Pengetua perlulah menyediakan kelengkapan yang
lengkap bagi tujuan tersebut. Guru Besar / Pengetua yang berperanan sebagai
pemimpin instruksional juga perlu memastikan guru-guru yang senior mendapat
bimbingan yang berterusan dari guru-guru muda yang dilantik untuk menggunakan
aplikasi online dari pihak KPM seperti penggunaan VLE Frog.
2.6 Guru
Besar / Pengetua akan sentiasa memudahkan dan bersepakat dalam melaksanakan
tugas berbanding dengan menggunakan kuasa yang ada. Terdapat Guru Besar /
Pengetua yang mengambil peluang sebagai Jurulatih kepada guru-guru dalam
bidang-bidang yang tertentu. Setiap tugasan diberikan secara adil kepada
guru-guru dan Guru Besar / Pengetua sentiasa memberikan komitmen dan bantuan
kepada guru-guru untuk menyiapkan tugasan tersebut.
2.7 Guru
Besar / Pengetua mengambil kira pandangan semua pihak dalam proses membuat
keputusan. Guru Besar / Pengetua menganggap mandat yang diberikan kepada mereka
bukanlah hak mutlak mereka untuk membuat keputusan, sebaliknya keputusan yang dibuat
adalah hasil perbincangan. Keputusan yang dibuat bukan untuk kepentingan
sendiri dan mematuhi semua prosedur-prosedur yang telah ditetapkan.
2.8 Guru
Besar / Pengetua berperanan untuk memberikan inspirasi, meyakinkan dan berupaya
untuk mempengaruh melalui tindakan dan sikap. Peranan guru dalam abad ke 21
agak mencabar, kerana guru-guru perlu menguasai pedagogi, menguasai silibus, penggunaan
“toolkit” abad ke 21 dan guru-guru sendiri berperanan sebagai pembimbing dan
pemudahcara kepada murid-murid. Jadi Guru Besar / Pengetua perlu sentiasa
memberikan motivasi dan inspirasi kepada guru-guru untuk memastikan PdPc abad
ke 21 menjadi amalan mereka. Pada awal pengenalan kepada PdPc abad ke 21 ini,
agak sukar untuk diterima oleh guru-guru, tetapi dengan sokongan yang
berterusan dari pihak Guru Besar / Pengetua, perubahan secara beransur-ansur
dapat dilihat dalam PdPc abad ke 21 ini.
2.9
Guru Besar / Pengetua perlu sentiasa mengikuti
kajian pendidikan dan trend pendidikan terkini dan menyediakan maklumat kepada
stakeholders. Banyak kajian dan seminar-seminar tentang PdPc abad ke 21 yang
boleh diikuti dan seterusnya membantu guru-guru di sekolah. Guru Besar /
Pengetua seharusnya sentiasa mencari maklumat dan kaedah-kaedah pengajaran
terkini yang boleh diaplikasikan di sekolah. Terdapat 115 aktiviti abad ke 21
yang boleh digunakan semasa PdPc ke 21 dan sekiranya dapat dilaksanakan akan
mendorong kepada kemnejadian murid.
No comments:
Post a Comment